Sebelum Kampung Hilir terbahagi kepada 4 kawasan,kampung ini telah dijaga dibawah kawasan Ketua Kampung Abg Haji Mohd Terang. Pada asalnya,Kampung Hilir ini dipenuhi dengan tanaman pokok-pokok getah dan mulung atau rumbia.Penduduk disini pada zaman dahulu difahamkan amat taat dan patuh kepada pemerintahan Ketua Kampung mereka dan tidak lokek untuk bekerjasama dalam membangunkan kawasan kampung. Penduduk kampung dengan secara sukarela membina kawasan kampung tanpa meminta balasan daripada Ketua Kampung mereka.

Selepas kedatangan Residen yang pertama di Sri Aman,kawasan Kampung Hilir terbahagi kepada 4 bahagian iaitu Kampung Masjid Baru, Kampung Datuk, Kampung Haji Undom(Kg.Baru Hilir) dan Kampung Tanjung Engkabang. Setiap 4 bahagian tersebut di Ketua oleh seorang Ketua Kampung yang telah dilantik.

Mengenai sejarah Kampung Haji Undom, sebelum perlantikan baru Ketua Kampung Haji Abg.Ariffin bin Haji Abg.Gafar pada tahun 2012 sehingga sekarang Tahun 2015, Kampung ini dinamakan Kampung Baru Hilir. Nama pertama bagi Kampung Baru Hilir adalah Kampung Haji Undom, kemudian ditukar kepada Kampung Baru Hilir dan pada tahun 2013 dan kini kembali kepada nama asalnya Kampung Haji Undom. Berdasarkan sejarah, Kampung Haji Undom diperolehi daripada sempena nama Ketua Kampung pada masa tersebut iaitu Haji Samin yang digelar Undom. Haji Samin merupakan orang yang pertama menerokai Kampung Haji Undom.

Haji Samin berasal daripada Kampung Tengah Sri Aman. Selepas kematian isterinya, beliau telah berhijrah ke Kampung Hilir dimana beliau telah bertemu jodoh dengan isteri kedua yang menetap di Kampung Hilir. Maka bermulalah penerokaan Kampung Haji Undom oleh Haji Samin pada ketika itu. Penduduk kampung yang menggelarkan Haji Samin dengan nama Undom disebabkan kebijaksanaan beliau dalam menyelesaikan masalah penduduk kampung dengan bekalan air. Beliau membina perigi air berdekatan dengan tempat kediaman beliau dimana perigi air tersebut terletak dikawasan bukit yang tinggi. Perigi itulah yang dijadikan penduduk kampung bergantung harap untuk mendapatkan bekalan air.

Dengan struktur kawasan yang berubah hingga kini, semua penduduk kampung di Kampung Haji Undom tidak menggunakan perigi air lagi setelah mendapat bekalan air yang secukupnya di kawasan Bandar Sri Aman. Kesimpulannya,nama Kampung Haji Undom tercetus daripada nama gelaran Haji Samin iaitu Undom.

(Sumber : Ketua Kampung Haji Abg.Ariffin bin Haji Abg.Ghafar)